Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya kecam dasar baki sifar
SHAH ALAM - Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam pelaksanaan dasar baki sifar (Zero Balance Policy) yang mewajibkan pelajar membayar yuran penuh pendaftaran antara RM1,000 hingga RM20,000.
KMUM dalam kenyataan berkata, jika gagal berbuat demikian, pelajar tidak dapat mendaftar untuk kursus dan modul dalam semester akan datang.
“Walaupun dasar ini bertujuan untuk mengumpul hutang pelajar, Kesatuan percaya bahawa dasar ini menindas hak pelajar, tidak adil, dan harus dihapuskan serta-merta.
“Perubahan dasar tanpa sebarang notis memberi kesan kepada pelajar, terutamanya mereka yang datang dari latar belakang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kestabilan dalam sumber kewangan.
“Mustahil bagi pelajar untuk mengumpul jumlah wang yang besar dalam jangka masa singkat,” kata kesatuan tersebut yang menaungi 68 persatuan pelajar universiti berkenaan dalam kenyataan pada Isnin.
KMUM turut membuat petisyen rayuan membantah dasar itu di laman web change.org sejak 15 September lalu dan berjaya mengumpul 4,531 sokongan setakat 11 pagi, Selasa.
Tambah KMUM, pentadbiran universiti pernah memperkenalkan dasar yang sama tahun lalu tanpa sebarang notis awal, namun akhirnya bersetuju untuk melonggarkan berikutan bantahan daripada pelajar.
“Kesilapan yang sama diulangi tanpa dimaklumkan terlebih dahulu menunjukkan hakikatnya pentadbiran berkenaan tidak menghormati autonomi pelajar.
“Jadi kesatuan menuntut universiti untuk hapuskan dasar baki sifar selama-lamanya dan memperbaiki portal dalam talian Sistem MAYA,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!