Ekstrak REE: Badan kerajaan, swasta disaran rujuk Nuklear Malaysia

Lih Kang ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, pada Selasa. - Foto Bernama
Lih Kang ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Badan kerajaan atau swasta yang terlibat dalam industri nadir bumi (REE), disaran merujuk Nuklear Malaysia bagi mendapatkan khidmat nasihat atau kepakaran dalam aktiviti pemprosesan dan pengekstrakan unsur nadir bumi dalam negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Nuklear Malaysia menawarkan perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan berkaitan nadir bumi dalam sektor huluan.

Menurutnya, ia melibatkan kajian keberadaan dan eksplorasi sumber serta sektor pertengahan melibatkan, pemisahan dan penulenan.

"Antara fasiliti yang tersedia di Nuklear Malaysia adalah melibatkan Loji Perintis Pemprosesan Bahan Mineral.

"Nuklear Malaysia turut membangunkan tatacara pengendalian piawai (SOP) di skala R&D makmal dalam aktiviti pemprosesan dan pengekstrakan unsur nadir bumi daripada sumber mineral tempatan seperti monazite, xenotime dan ilmenite,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan tenaga nuklear dalam negara masih dalam pertimbangan kerajaan.

Bagaimanapun, ujarnya, Nuklear Malaysia telah bersedia dalam aspek teknikal dan keupayaan sumber manusia.

Artikel Berkaitan:

"Kini Nuklear Malaysia sedang mempergiatkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman melalui pembangunan bakat teknologi nuklear yang holistik bagi memenuhi keperluan pasaran dan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!