Kursus penjagaan kanak-kanak, orang tua bermula awal tahun depan
KUALA LUMPUR - Kursus penjagaan kanak-kanak dan warga emas dijangka bermula awal tahun hadapan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, kementeriannya komited dalam memastikan rancangan tersebut dapat direalisasikan bagi menokhtahkan dilema kekurangan individu yang berkemahiran untuk membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, kursus tersebut bakal ditempatkan di bawah Institut Sosial Malaysia (ISM) dan terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk meningkatkan kemahiran mereka.
"Kita telah minta perkara ini dimasukkan dalam peruntukan bajet dan berharap latihan ini dapat dimulakan awal tahun depan.
"Sekarang ini, mereka yang menjaga orang memerlukan, iaitu termasuk kanak-kanak dan orang dewasa, adalah orang yang sanggup untuk mendapat gaji tapi tiada kemahiran. Jadi kita mahu mereka diberikan latihan.
"Jadi insya-ALLAH kita akan lambakkan orang yang berminat untuk menjaga kanak-kanak atau orang tua supaya tidak ada lagi masalah di Malaysia ni, susah untuk mendapatkan orang menjadi penjaga kepada golongan tersebut," katanya dalam sesi penerangan media berkaitan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) di Parlimen pada Selasa.
JPKK ditubuhkan berkuat kuasa 1 September bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, Nancy berkata, bagi meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan, kompetensi pegawai kes perlu dipertingkatkan, maka latihan kemahiran pegawai JPKK terlibat dimulakan secara berperingkat.
"Perancangan latihan yang komprehensif dan berstruktur akan disediakan bagi memastikan semua pegawai kes kompeten dalam menguruskan pengendalian kes kanak-kanak melalui pembangunan modul dan pelaksanaan latihan melalui pensijilan profesional,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!