32 motosikal 'naik' lori JPJ
KUALA LUMPUR - Sebanyak 32 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menerusi operasi di sekitar ibu negara, pada Isnin.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, Op Khas Motosikal bermula jam 8 pagi itu turut mengeluarkan 583 saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan pelbagai kesalahan teknikal.
"Hasil pemeriksaan ke atas 3,778 motosikal, sebanyak 32 daripadanya telah disita kerana tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh selain motosikal roda tiga yang digunakan warga asing.
"Sitaan dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, strategi penguatkuasaan secara berfokus dilaksanakan dengan tumpuan utama kepada pengendali motosikal bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Jelasnya, pelaksanaan operasi berkenaan antara usaha JPJ Kuala Lumpur dalam meningkatkan kesedaran kepada penunggang serta pembonceng motosikal betapa pentingnya memastikan keselamatan di jalan raya.
"Patuhi undang-undang bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!