Jualan Rahmah Beras tawar beras import RM14 sekampit

Fuziah - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fuziah - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Jualan Rahmah Beras di setiap kawasan Parlimen seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, menerusi jualan itu pihaknya akan memberikan harga istimewa kepada pengguna dengan menawarkan beras import lima kilogram (kg) dengan harga RM14 sekampit.

"Harga beras import sekampit dengan berat lima kg dalam Jualan Rahmah Bergerak adalah sekitar RM13 hingga RM14, KPDN akan cuba sedaya upaya menawarkan harga sama dalam Jualan Rahmah Beras.

“Jadi kita akan cuba untuk jual dengan harga seperti itu juga. Kalau RM13 sama macam tempatan, tetapi kita jual beras import untuk Jualan Beras Rahmah itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Today’s Malaysia E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework: The Way Forward di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari.

Tambah Fuziah, KPDN mahu memastikan mereka yang selayaknya akan dapat membeli beras berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, melalui Jualan Rahmah Bergerak, memang disasarkan ke kawasan B40, perumahan kos rendah dan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Mekanisme itu bergerak ke kawasan penempatan disasarkan, mungkin adalah satu cara untuk kita sampai kepada golongan yang memerlukan sebab golongan yang amat terkesan adalah golongan yang saya sebutkan itu.

“Namun untuk golongan peniaga, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengatakan mereka akan ambil tanggungjawab,” jelasnya.

Fuziah berkata, KPDN menggunakan peruntukan Jualan Rahmah RM150 juta yang diberikan kerajaan sebelum ini bagi menjayakan inisiatif yang bertujuan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Mula-mula kita ada RM100 juta, tapi Perdana Menteri tambah lagi RM50 juta. Disebabkan kita tak ada akses kepada beras tempatan, jadi kami akan beri diskaun harga kepada beras import," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!