Titi usang tunggu masa sembah bumi

Struktur titi yang usang, senget dan keadaan tebing sungai runtuh mengundang risiko bahaya kepada pengguna.
Struktur titi yang usang, senget dan keadaan tebing sungai runtuh mengundang risiko bahaya kepada pengguna.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Titi usang sepanjang enam meter yang menjadi laluan utama penduduk di belakang pasar lama Gurun di sini umpama menanti masa menyembah bumi.

Ia berikutan hakisan tebing sungai yang dikatakan berlaku sejak kira-kira 10 tahun lalu, menjadi lebih 'parah' apabila turut terkesan dengan tragedi kepala air Gunung Jerai yang membawa sisa kayu, dua tahun lalu.

Kegunaan titi tersebut kini hanya terhad kepada pejalan kaki dan motosikal.

Biarpun titi sudah usang dan tebing sudah runtuh namun masih ada pengguna mengambil risiko menyeberangi sungai melalui laluan berkenaan.
Biarpun titi sudah usang dan tebing sudah runtuh namun masih ada pengguna mengambil risiko menyeberangi sungai melalui laluan berkenaan.

Penduduk, Foo Sing Yew, 50, melahirkan kebimbangan melihat keadaan titi yang terletak bersebelahan rumahnya sudah senget selain tebing sungai yang runtuh.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, dia dan keluarga tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang rumah turut hanyut.

"Sebelum ini kami buka kedai kopi secara turun-temurun, tetapi setelah titi ini ditutup untuk kenderaan, pelanggan makin kurang sehingga terpaksa tutup terus atas faktor keselamatan," katanya.

Situasi sama dirasai peniaga sayur, Cheng Joo Tek, 71, yang mengakui perniagaannya semakin merosot selepas kurang pelanggan sejak kemudahan itu terjejas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lebih baik pelanggan beli sayur di tempat lain daripada membahayakan diri melalui titi berkenaan.

Pengguna, Darus Mat Isa, 75, berkata, walaupun tahu risiko bahaya melalui titi itu, namun tetap ia memendekkan jarak perjalanan.

"Terpaksa kerana jalan ini yang paling dekat untuk ke jalan utama, takut tu memang takut tapi nak buat macam mana.

"Air sungai memang deras jika hujan lebat, kami bimbang hakisan semakin teruk dan titi ini akan hanyut satu hari nanti," katanya yang sudah 20 tahun menetap di taman berhampiran.

Pemandu lori sayur, Zaidi Mohamad Rejab, 58, berkata, keadaan titi yang usang selain hakisan bertambah teruk mendatangkan risiko dan mengancam nyawa pengguna.

"Walaupun hampir nak runtuh, tetapi orang tetap guna titi ini sebab memendekkan jarak.

"Saya harap kerajaan ambil tindakan segera untuk kerja-kerja baik pulih tebing runtuh serta baiki titi yang usang," katanya.

Sing Yew menunjukkan hakisan tebing sungai bersebelahan rumahnya, sudah runtuh.
Sing Yew menunjukkan hakisan tebing sungai bersebelahan rumahnya, sudah runtuh.

Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Abdul Ghani Abdul Rahim berkata, permohonan baik pulih tebing sudah dilakukan dan hanya menunggu kelulusan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Menurutnya, permohonan dibuat menerusi Pejabat Parlimen Jerai sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan cuba mendapatkan maklum balas mengenai permohonan itu baru-baru ini.

"Kita harap permohonan ini mendapat perhatian memandangkan ia bukan isu baharu selain melibatkan nyawa penduduk, perkara utama adalah perlu bina tebing yang runtuh terlebih dahulu, kemudian titi ini.

"Apapun, kita menunggu maklum balas seterusnya daripada pihak berkenaan,"jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!