Min Yasmin, Julfekar timang cahaya mata selepas 10 tahun menanti
PENANTIAN 10 tahun penyanyi, Min Yasmin dan suaminya yang juga komposer, Julfekar Ahmad Shah berakhir apabila mereka dikurniakan seorang cahaya mata pada tarikh sambutan Hari Malaysia yang lalu.
Pelantun lagu Belum Lelah Setia itu selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas Sabah (HWKKS) di Kota Kinabalu di sini.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Julfekar sendiri menerusi hantaran di Facebooknya yang meluahkan rasa bersyukur walaupun bayinya dilahirkan pramatang.
"Penantian cahaya mata setelah 10 tahun mendirikan rumahtangga bersama. Syukur, Min telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada Hari Malaysia 16 September pada jam 7.49 malam.
"Min telah dikejarkan ke HWKKS dengan ambulans kerana tekanan darah tingginya yang tak terkawal. Setelah berbincang, untuk mengelakkan keadaan semakin buruk memandangkan detak jantung bayi yang mula semakin lemah, Min terus dibedah serta merta," tulisnya pada Selasa.
Sehubungan itu, Julfekar memohon doa daripada semua untuk keselamatan dan kesihatan anak mereka yang berusia 30 minggu itu.
"Mohon doakan keselamatan dan kesihatan sepenuhnya bayi pramatang kami yang berusia 30 minggu (7 bulan setengah) ini.
"Semoga anak kami ini mampu membesar dengan sihat seperti anak-anak yang lain. Semoga anak ini menjadi seorang anak yang soleh dan membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan keluarga," ujarnya.
Sementara itu, Julfekar yang kini berada di Filipina memaklumkan dia akan pulang ke Sabah dengan segera selepas tugasannya selesai.
"Pada siang 16 September lalu Min pergi membuat pemeriksaan. Bagaimanapun, dia dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
"Beberapa hari sebelum Min bersalin, saya sudah terbang ke Filipina. Saya hendak pulang terus ke Sabah sebaik menerima berita itu tetapi Min meminta supaya menyelesaikan segala tugasan terlebih dahulu selain meminta supaya tidak terlalu bimbang tentang keadaannya kerana ibu bapa Min juga sudah tiba di sana menemaninya," katanya.
Julfekar berkata, walaupun anak mereka dilahirkan pramatang dengan berat 880 gram tetapi dia bersyukur isteri serta anak mereka berada dalam keadaan selamat.
Julfekar turut memaklumkan anaknya itu dijangka perlu diletakkan di dalam inkubator untuk jangka masa dua bulan bagi pemantauan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!