Sa'ap tidak mahu siakan peluang sertai Akademi JDT
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Peribahasa ini tepat untuk menggambarkan kejayaan seorang kanak-kanak Orang Asli suku kaum Bateq dari Kampung Aring 5, di sini, yang dilamar untuk menyertai Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sa’ap Baharom, 12, yang memang mengimpikan untuk menyertai kelab bola sepak ternama, langsung tidak menyangka dia akan terpilih sebagai pemain akademi bola sepak JDT, iaitu sebuah kelab dengan rekod cemerlang dalam kejohanan domestik selain turut mencipta nama di peringkat Asia dan dunia.
Lebih mengejutkan, Sa'ap 'diburu’ sendiri oleh Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia JDT, Diego Griffa yang berjumpa dengan bapanya Baharom Pinang, 50, bagi mendapatkan persetujuan menyertai akademi itu.
"Saya mula bermain bola sepak pada usia tujuh tahun di Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi, dan mendapat sokongan cikgu-cikgu untuk menjadi wakil sekolah bermain di peringkat lebih tinggi.
"Saya menjadikan pemain remaja dari skuad JDT, Arif Aiman Hanapi sebagai idola dalam permainan.
"Sudah lama saya bercita-cita untuk menjadi pemain tersohor seperti idola saya tetapi beranggapan ia adalah suatu yang mustahil kerana saya hanya anak kampung Orang Asli di Gua Musang,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Menurut Sa’ap, dia amat bersyukur apabila dapat mengikat kontrak selama tiga tahun bersama JDT dan akan berlepas ke Johor Bahru bersama wakil kelab berkenaan pada Khamis ini."Perasaan saya ketika ini bercampur-baur... antara berdebar dan teruja.
"Saya berazam tidak mensia-siakan peluang menggilap bakat yang ada untuk menjadi pemain profesional suatu hari nanti. Saya ingin mengubah nasib keluarga,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Kampung Orang Asli Aring 5 Raina Anjang, 53, berkata, pemilihan kanak-kanak bertuah itu untuk menyertai akademi berkenaan menjadi satu kebanggaan buat suku kaum Bateq.
"Kaum Bateq sangat berbangga dengan pencapaian Sa’ap kerana saya rasa dia adalah wakil pertama suku kami yang menjadi pilihan untuk bermain dengan kelab bola sepak profesional.
"Saya harap kisah kejayaan Sa’ap ini dapat menjadi aspirasi kepada anak-anak Orang Asli yang lain, malah lebih ramai suku Bateq akan terpilih kerana saya percaya masih ramai mempunyai bakat tersembunyi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!