Masih ada syarikat keliru tentang zakat perniagaan - MAIDAM

Shaikh Harun
Shaikh Harun
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terdapat banyak syarikat perniagaan yang keliru atau mendapat maklumat kurang tepat berhubung zakat perniagaan yang perlu dilunaskan mereka.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, perkara sedemikian menyebabkan masih ada syarikat yang tidak membayar zakat perniagaan mereka.

"Kaedah pengiraan zakat perniagaan berbeza dengan cukai yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Ada syarikat yang mendakwa mereka tidak membayar zakat perniagaan kerana operasi syarikat tidak menguntungkan malah syarikat perlu menanggung kerugian.

"Jadi kita terus memperkasakan sesi penerangan kepada syarikat-syarikat perniagaan yang beroperasi di Terengganu untuk memastikan mereka faham mengenai zakat perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pemerkasaan Pengoperasian MAIDAM dan Pelancaran Kempen Potongan Zakat Berjadual di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam dekat sini pada Selasa.

Sementara itu, Shaikh Harun berkata, pihaknya, menyasarkan RM60 juta zakat perniagaan di Terengganu pada tahun ini.

Menurutnya, MAIDAM yakin dapat mencapai sasaran tersebut berbanding RM52 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah sebanyak RM30 juta dapat dikutip setakat 30 Ogos lalu dan jumlah kutipan zakat itu dijangka meningkat susulan peningkatan kutipan tersebut didorong oleh kesedaran pengeluar zakat dalam menunaikan rukun Islam.

Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, lebih RM152.1 juta kutipan zakat berjaya dikutip setakat 30 Ogos lepas manakala jumlah agihan telah mencecah RM161.2 juta.

"Ia menunjukkan prestasi agihan zakat berbanding kutipan zakat adalah sebanyak 105.98 peratus," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga melancarkan Kempen Potongan Zakat Berjadual bagi menggalakkan bayaran zakat melalui potongan gaji.

Tambahnya, melalui kaedah itu diharap dapat memastikan lebih ramai asnaf dibantu dan seterusnya menurunkan kadar kemiskinan di Terengganu.

Mengulas program pada Selasa, Shaikh Harun berkata, ia bertujuan memberi kefahaman peranan MAIDAM sebagai agensi tunggal yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan zakat di negeri ini.

Katanya, seramai 180 peserta hadir pada program tersebut termasuk agensi kerajaan, pembayar zakat dan penerima zakat.

"Sesi ini juga bertujuan untuk mengumpul maklum balas, cadangan, pandangan dan idea baharu daripada pihak berkepentingan berhubung pengoperasian MAIDAM dalam aspek tadbir urus, pengurusan zakat dan lain-lain," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!