Hab pasaran borong terbesar dunia buka bilik pameran di GM Klang
HAB pasaran borong komoditi terbesar dunia, Yiwu dari China melancarkan bilik pamerannya yang pertama di negara ini di GM Klang, Selangor pada Selasa.
Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, Yiwu turut membawa bersama pembekal berkualiti ke Malaysia untuk temu padan perniagaan mereka dengan pembeli tempatan.
"Dengan adanya bilik pameran ini, peniaga tempatan atau usahawan baharu tidak perlu menghabiskan masa, wang dan tenaga untuk terbang ke Yiwu, China bagi mendapatkan barangan diinginkan.
"Kini mereka hanya perlu datang ke pusat borong GM Klang untuk berunding terus dengan pembekal dan boleh melihat serta menyentuh sampel yang dipamerkan di bilik pameran tersebut," katanya.
Beliau ditemui selepas pembukaan bilik pameran 'Yiwu Selection' di tingkat enam Blok B, GM Klang yang disempurnakan Pengurus Besar Pelaburan Luar Negara Bandar Komoditi Yiwu, Yuan Ying.
Majlis turut dihadiri Timbalan Pengurus Besarnya, Xu Hang dan Pengerusi Rantaian Bekalan Yiyou, Zhang Qiang.
Ujar Seng Kok, pembukaan bilik pameran itu juga bagi menggalakkan perdagangan antara China dan Malaysia serta memudahkan usahawan Malaysia membeli barangan berkualiti tinggi daripada pembekal Yiwu Mall Group.
"Kumpulan ini bertanggungjawab untuk operasi Bandar Komoditi Yiwu di China dan kini bekerjasama dengan pusat borong terbesar di Malaysia iaitu GM Klang membuka bilik pameran pertama di Malaysia dengan nama Yiwu Selection," katanya.
Yiwu Mall Group turut menjemput 26 pembekal yang berkualiti dari Bandar Komoditi Yiwu, China pada majlis pembukaan bilik pameran berkenaan dengan menonjolkan 20 kategori produk sampel yang berbeza.
Seng Kok menambah, pelbagai produk dipamerkan di bilik pameran Yiwu Selection antaranya ialah bunga hiasan, produk pembungkusan, perkakasan dapur, pelekat dinding dapur, peralatan tempat tidur dan kosmetik serta kusyen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!