Gara-gara tak dibayar gaji...
Kejadian jam 10 pagi itu disedari Pusat Operasi Keselamatan LTAPP yang ternampak kelibat seorang lelaki menceroboh masuk ke dalam ruang tayar pesawat kargo, N361UPS Boeing 767.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain yang dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki tersebut.
"Suspek masuk ke kawasan LTAPP melalui pagar yang berlubang berhampiran tanah perkuburan di Permatang Damar Laut.
"Dia telah berjalan menuju ke pesawat tersebut yang diletakkan di tempat meletak pesawat kargo yang juga merupakan kawasan larangan, pada jam 12 tengah malam tadi," katanya tadi.
Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas polis mendapat maklumat tersebut dari pihak keselamatan LTAPP.
"Hasil soal siasat, suspek mengaku menceroboh pesawat tersebut kerana ingin pulang ke Medan, Indonesia.
"Dia mendakwa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak dua bulan lalu menyebabkan dia tidak mempunyai wang untuk pulang ke kampungnya. Suspek bekerja di tempat proses ayam di Balik Pulau sejak sembilan bulan lalu," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 kerana menceroboh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!