Kenyataan saya tidak rosakkan reputasi Sanusi - Saifuddin Nasution

Muhammad Sanusi, Saifuddin Nasution
Muhammad Sanusi, Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, kerosakan reputasi Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bukan disebabkan kenyataan Menteri Dalam Negeri itu, sebaliknya berpunca daripada penyelewengan pentadbiran Menteri Besar (MB) dan Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah itu sendiri.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian bagi menjawab kes saman fitnah oleh Sanusi selaku plaintif berhubung dakwaan mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) yang difailkan melalui Tetuan Nav & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada Khamis lalu.

Menerusi penyataan pembelaan, Saifuddin sebagai defendan berkata, kerosakan reputasi berkenaan berlaku termasuk selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dikenakan tindakan undang-undang berhubung pertuduhan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Menurutnya, perkara itu menunjukkan Sanusi mungkin dianggap seorang pemimpin yang lemah dan tidak mempunyai kualiti kepimpinan mantap seperti yang diperlukan untuk mentadbir sesebuah negeri dengan berkesan.

Pada 3 Ogos lalu, Sanusi mengemukakan saman dengan mendakwa Saifuddin telah memfitnahnya mencuri REE di Kedah.

Sanusi yang memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar turut mendakwa pemimpin PH itu memfitnahnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Susulan kenyataan fitnah itu, Sanusi mendakwa, reputasinya sebagai seorang pemimpin politik telah tercalar malah dipandang serong oleh Masyarakat dan ahli politik.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, tiada niat jahat dibuat mahupun dendam atau usaha untuk mencemarkan reputasi Sanusi.

Artikel Berkaitan:

Ia terbukti apabila katanya, pemimpin Pas ini tidak mengalami sebarang kerugian dan kerosakan, terhadap reputasinya.

"Ini terbukti dengan kejayaan Sanusi mengekalkan kerusi di DUN Jeneri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah lalu, dengan majoriti lebih 16,000 undi.

“Beliau juga telah mengangkat sumpah semula sebagai MB Kedah (dengan menguasai lapan portfolio dalam majlis Exco kerajaan negeri) dan mengekalkan jawatan Pengerusi MBI Kedah," katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, kenyataannya bukan berbentuk fitnah sebalik komen yang adil, mengenai isu berkepentingan awam.

Sementara itu, menerusi pernyataan tuntutan saman, Sanusi berkata, Saifuddin membuat kenyataan fitnah ketika ceramah program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, pada 8.30 malam, 15 Julai lalu.

Ia bagi kempen politik PH dan Barisan Nasional menjelang PRN Kedah, pada 12 Ogos lalu.

Dalam ceramah itu, Sanusi mendakwa Saifuddin mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya selaku Menteri Besar dan MBI mencuri REE di Kampung Chong, Sik yang mendapat liputan luas media.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!