Isu kekurangan bekalan pas sempadan selesai
TUMPAT - Masalah kekurangan pas sempadan terutama di Kelantan, Perlis, Kedah dan sebahagian Perak selesai sejak minggu lepas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, stok itu sudah sampai di negeri berkenaan dan tidak akan berlaku lagi masalah kelewatan atau kekurangan bekalan.
Beliau memberitahu, pihaknya akan menyelesaikan masalah itu dari masa ke masa jika berlaku lagi perkara sama.
"Alhamdulillah, semua sudah selesai, bekalan stok juga sudah dihantar ke negeri-negeri terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengikuti Program Lawatan Kerja Ketua Pengarah Imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor pada Selasa.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Jabatan Imigresen hanya membenarkan pas sempadan dibuat di satu lokasi bagi setiap negeri, Ruslin memberitahu, perkara itu masih dalam kajian dan pertimbangan.
"Kita masih dalam kajian dan akan mengumpulkan data sebelum membuat perubahan dari segi operasi dan sebagainya.
"Pihak kami juga akan mengenal pasti sama ada individu yang sama memohon pas sempadan dan berapa kali dalam setahun serta beberapa perkara lain yang perlu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!