Bajet Johor 2024 perlu beri tumpuan kepada Orang Asli
JOHOR BAHRU - Bajet Johor 2024 yang dijadual dibentang pada November ini diharap turut memberi tumpuan kepada usaha membangunkan masyarakat Orang Asli.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, terdapat perkampungan Orang Asli di negeri ini masih belum mendapat bekalan air bersih selain masih memerlukan program-program pembangunan.
Jelasnya, terdapat kira-kira 30,000 Orang Asli yang tinggal di 60 buah perkampungan di seluruh negeri ini dengan daerah Kluang memiliki banyak perkampungan Orang Asli.
"Saya turun ke kampung-kampung mendekati masyarakat Orang Asli untuk kenal pasti perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.
"Ada beberapa perkara yang saya lihat perlu diberikan perhatian antaranya ada Kampung yang masih belum mendapat bekalan air bersih," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita negeri Johor di Institut Pengurusan Peladang pada Selasa.
Menurut Zahari, sasaran Johor maju pada tahun 2030 tidak akan dicapai sekiranya masih ada golongan masyarakat yang tertinggal dalam arus pembangunan.
"Saya percaya kerajaan negeri akan buat pengumuman yang penting khusus tentang masyarakat Orang Asli dalam pembentangan bajet nanti.
"Oleh itu saya hendak menjemput wakil- wakil Orang Asli untuk datang ketika pembentangan bajet di Kota Iskandar pada November nanti," ujarnya.
Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, program Kampung Orang Asli Sejahtera yang diumumkan pada Belanjawan Johor tahun lalu turut diharapkan dapat diteruskan pada tahun hadapan.
"Pada tahun ini, Kampung Orang Asli Puting di Segamat telah dipilih sebagai kampung pertama untuk Program Kampung Orang Asli Sejahtera.
"Peruntukkan sebanyak RM300,000 diberikan oleh kerajaan negeri untuk keceriaan kampung, pendidikan dan ekonomi kini sedang dilaksanakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!