Pengawal keselamatan dipenjara, pecah masuk mahkamah dan curi wang
MELAKA - Gara-gara pecah masuk bangunan mahkamah dan mencuri wang, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Majistret Nabilah Nizam memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh, P Paul Agilan, 25, selepas dia mengaku bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecah masuk kafe di bawah kendalian Nur Khairunnadia Mushafa, 28, dan mencuri RM150 di kaunter pembayaran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Mahkamah Melaka pada jam 12.01 tengah malam, 2 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memecah masuk Pejabat Tanggungjawab (PTJ) Kompleks Mahkamah Melaka di bawah kendalian Nur Affazan Khairoun Anuar, 33, dan mencuri wang RM800 dari peti besi di dalam laci kaunter pembayaran pada tarikh sama antara jam 1 pagi hingga 2 pagi.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun serta denda dan mana-mana kesalahan itu jika dilakukan kali kedua atau yang kemudiannya boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,500 bagi pertuduhan pertama serta penjara enam bulan dan denda RM2,000 bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 September lalu dan jika gagal membayar denda, tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!