30,000kg beras untuk rakyat di Pulau Pinang

Penduduk di Pulau Pinang boleh mendapatkan bekalan beras tempatan menerusi program BPT bermula hari ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Fahmi
Penduduk di Pulau Pinang boleh mendapatkan bekalan beras tempatan menerusi program BPT bermula hari ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Fahmi
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 30,000 kilogram (kg) beras akan dipasarkan di semua pusat jualan outlet-outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negeri ini.

Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, penjualan kesemua beras tersebut dibuat menerusi program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT).

Menurutnya, program BPT ini adalah bagi memastikan bekalan beras putih tempatan tidak terputus di pasaran.

"Sebanyak 3,000 kampit beras iaitu berjumlah 30,000kg akan dijual di seluruh negeri dengan harga kawalan yang telah ditetapkan kerajaan.

"Pulau Pinang adalah negeri pertama yang menerima bekalan beras tempatan menerusi program BPT yang dilancarkan kerajaan ini," katanya pada Selasa.

Beliau menambah, setiap pembeli hanya dibenarkan membeli maksimum 20 kilogram beras.

"Semua beras ini mula dijual pada hari ini (Selasa) yang mana, seorang pembeli hanya boleh beli dua kampit sahaja iaitu 20kg. Sementara itu, bagi golongan peniaga pula, mereka dibenarkan membeli 10 kampit (100kg) setiap seorang.

"Program ini akan dijalankan secara bersiri bagi memastikan bekalan beras tempatan sentiasa ada di pasaran untuk kegunaan rakyat negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa tiada bekalan beras tempatan di pasaran sejak minggu lalu.

"Saya ada buat tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di kawasan seberang dan pulau, memang bekalan beras tempatan tiada. Perkara ini berlaku sejak minggu lalu.

"Yang ada beras import sahaja, beras tempatan tiada langsung. Oleh itu, dengan adanya program Intervensi Pengedaran BPT ini, ia dapat membantu rakyat untuk mendapatkan bekalan beras tempatan dengan harga kawalan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan BPT di seluruh negara dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mohamad berkata, langkah intervensi menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.

Sementara itu, Fahmi berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri diberi autonomi mengawal pengeluaran berasnya sendiri bagi memastikan bekalan beras di Pulau Pinang sentiasa mencukupi.

"Antara punca berlakunya kekurangan beras ialah beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab telah memanipulasi harga benih padi.

“Pihak berkuasa negeri telah menerima beberapa aduan daripada petani mengenai benih padi yang dijual pada harga tidak munasabah kepada petani di Pulau Pinang,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!