BARIM cadang kerajaan beri subsidi, apung harga beras

Khalil ketika ditemui di syarikat pemborong beras di Malim pada Selasa.
Khalil ketika ditemui di syarikat pemborong beras di Malim pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM), Zon Selatan mencadangkan kerajaan melaksanakan pengapungan harga beras tempatan atau memberikan subsidi RM600 bagi setiap metrik tan kepada pemborong selama setahun.

Pengerusinya, Khalil Ahmad berkata, cadangan itu dilihat relevan bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ruji itu di seluruh negara dalam tempoh kronik ini.

Menurutnya, cadangan mengapungkan harga beras sehingga RM29 bagi beras 10 kg kerana telah berpuluh tahun harga makanan asas itu kekal dengan kadar RM26 dan tidak pernah berlaku sebarang kenaikan.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga pemborong dan peruncit hanya memperoleh margin keuntungan rendah sekitar 50 sen hingga 80 sen bagi sekampit beras tempatan 10 kilogram (kg) sedangkan mereka terbeban dengan kos operasi yang kian meningkat.

"Dalam keadaan kritikal ini, kerajaan boleh membantu sama ada apungkan harga atau berikan subsidi dalam tempoh masa mungkin setahun.

"Dengan cadangan subsidi itu mungkin pengilang boleh mengeluarkan beras dan kita juga akan bersedia mengeluarkan beras-beras untuk diagihkan kepada peruncit sekali gus pengguna dapat membeli beras," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Malim pada Selasa.

Khalil berkata, ini hanyalah cadangan sementara ketika negara sedang mengalami kekurangan bekalan beras tempatan dan dalam tempoh itu juga kerajaan boleh memikirkan mekanisme terbaik untuk memastikan bekalan beras mencukupi bagi keperluan pengguna dalam jangka masa panjang.

"Ini kerana isu keuntungan rendah juga menyebabkan pemborong dan peruncit lebih berminat menjual beras import pada harga lebih tinggi sehingga RM40 bagi 10 kg beras untuk meraih keuntungan berbaloi berbanding menjual beras tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita terbeban dengan pelbagai kos, sebab itu banyak syarikat pemborong beras terpaksa gulung tikar dalam tempoh lima tahun kerana tidak mampu bertahan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!