KPDN akui ada gangguan bekalan beras tempatan

Armizan (tengah) membuat pemantauan harga barangan keperluan asas di Selayang, Gombak pada Selasa.
Armizan (tengah) membuat pemantauan harga barangan keperluan asas di Selayang, Gombak pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Gangguan bekalan beras tempatan didapati berlaku di dua lokasi pemantauan iaitu Pasar Raya Sri Ternak dan Pasar Raya NSK Selayang, kata Datuk Armizan Mohd Ali.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata, kedua-dua pemilik premis mengakui masalah tersebut yang bermula sejak Ogos lalu dan bertambah serius pada September.

Menurutnya, bekalan barangan tersebut masih ada namun, jumlah yang diterima daripada pembekal adalah jauh berkurangan daripada biasa.

"Saya difahamkan, barangan keperluan asas lain seperti gula, minyak masak dan tepung gandum mempunyai bekalan yang mencukupi untuk orang ramai kecuali beras dan telur.

"Selain beras, hanya telur gred A yang dilihat menghadapi gangguan bekalan dan yang lain masih mencukupi serta terkawal.

"Pihak KPDN akui hasil pemantauan ini terdapat sedikit gangguan bekalan dan difikirkan perlu untuk memperkasakan penguatkuasaan, malah sanggup membantu demi kepentingan masyarakat," katanya semasa sidang media selepas melakukan pemantauan harga barangan keperluan asas di Selayang, pada Selasa.

Jelas Armizan, kenaikan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram di seluruh negara susulan penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas), menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.

Sehubungan itu, kerajaan melancarkan Jualan Rahmah Beras pada Selasa bertujuan untuk meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan dan terkesan dengan kenaikan harga beras di pasaran ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, antara kekangan yang dihadapi adalah pemantauan tersebut terhad kepada rantaian bekalan peringkat runcit dan bukan pada peringkat pengilang serta pemborong.

"Disebabkan itu, seruan untuk melakukan penguatkuasaan ini giat dilakukan. Kami akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang mempunyai punca kuasa dan agensi seperti bahagian kawal selia beras dan padi.

"Esok (Rabu) saya akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan pada lusa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula akan mengetuainya di peringkat jawatankuasa pemantauan.

"Antara isu yang akan dibawa adalah mengenai hasrat KPDN untuk meneliti kesesuaian dan keperluan bersama dengan KPKM agar dapat memberikan punca kuasa di bawah subseksyen Akta Kawal Selia Padi Beras," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!