Pahang naikkan gaji jurulatih, elaun atlet

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan Anugerah Olahragawan Pahang 2021/2022 kepada Mohd Nasir pada Majlis Anugerah Sukan Pahang pada Selasa.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan Anugerah Olahragawan Pahang 2021/2022 kepada Mohd Nasir pada Majlis Anugerah Sukan Pahang pada Selasa.
A
A
A

KERAJAAN Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) menaikkan gaji minimum jurulatih sukan di negeri ini kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bermula Mac lalu.

Exco Komunikasi dan Multimedia,Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohd Kamal berkata, penyelaras gaji itu dilaksanakan berikutan sebelum ini terdapat jurulatih menerima gaji hanya RM1,500 sebulan.

Menurutnya, inisiatif itu sebagai mengiktiraf peranan penting jurulatih dalam pembangunan atlet dan menyuntik semangat mereka untuk membentuk mentaliti juara dalam diri setiap atlet di negeri ini.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah drastik bagi menjaga kebajikan atlet dengan menaikkan elaun latihan minimum setiap atlet Pahang yang terpilih untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak daripada RM100 sebulan sebelum ini kepada sekurang-kurangnya RM250 sebulan bermula tahun depan.

"Kadar elaun latihan bagi pemenang pingat emas Sukma 2022 turut dinaikkan daripada RM350 sebulan kepada RM500 tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Sukan Pahang (ASP) 2021/2022 pada Selasa.

Majlis yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan Anugerah Olahragawati Pahang 2021/2022 kepada Lai Pei Jing pada Majlis Anugerah Sukan Pahang di sini pada Selasa.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan Anugerah Olahragawati Pahang 2021/2022 kepada Lai Pei Jing pada Majlis Anugerah Sukan Pahang di sini pada Selasa.

Atlet angkat berat Pahang, Mohd Nasir Roslan, 25, dan pemain badminton profesional, Lai Pei Jing, 31, telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Pahang 2021/2022.

Penerima anugerah itu menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM5,000 disampaikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sementara itu, dalam majlis sama, turut dilancarkan inisiatif terbaharu, Tabung Sukan Pahang.

Fadzli berkata, inisiatif itu bakal mengubah landskap bidang sukan di negeri ini.

"Ia satu langkah besar, satu agenda terancang dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kerajaan negeri memperkasa prestasi dan kemajuan sukan di negeri ini.

"Pihak yang menyumbang kepada tabung itu bukan sahaja mendapat pelepasan cukai, tetapi juga turut berpeluang terlibat menjayakan program pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi di negeri ini," jelasnya.

Pada majlis itu, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan menjadi milik atlet olahraga, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain dan pelayaran, Nur Alia Ameera Mohammad Latif.

Anugerah Paralimpik Lelaki diraih atlet tenis, Mohamad Yusshazwan Yusoff dan Paralimpik Wanita milik atlet memanah, Loh Chi Hui.

Sementara itu, Anugerah Jurulatih Terbaik dinobatkan kepada Mohd Sufian Mohamad, Datuk Suhaimi Mohd Yunus (Penggerak Sukan) dan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (Kepimpinan Sukan).

Majlis Sukan Daerah dimenangi Majlis Sukan Daerah Peka, Persatuan Bola Jaring Pahang (Persatuan Sukan Terbaik ) Terbaik, Mohd Sufian Mohamad (Jurulatih Terbaik), Datuk Suhaimi Mohd Yunus (Penggerak Sukan), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (Kepimpinan Sukan).

Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik (Pasukan Hoki Sukma 2022), Pasukan Wanita Terbaik (Pasukan. Hoki Wanita Sukma 2022) dan Anugerah Khas Jasamu Dikenang (Datuk Seri Mohd Johari Hussain).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!