[VIDEO] Peruntukan pembangkang: 'Kalau tak runding, sampai bila pun saya tak luluskan' - Anwar

A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang diingatkan supaya tidak angkuh dan sombong dalam usaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka perlu berunding dengan kerajaan seperti yang dilakukan ketika pemerintahan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jika mahukan dana seperti yang dibangkitkan.

Beliau juga memberi jaminan akan mengguna pakai syarat-syarat yang tidak jauh berbeza dengan perjanjian dimetrai pembangkang ketika itu.

“Bila Yang Berhormat Bera (Datuk Seri Ismail Sabri) ambil alih, saya terima kasih kepada YB Bera, kerana YB Bera kata, kalau betul nak, kita bincang baik-baik.

“Jadi kita hantar perwakilan, bincang baik-baik dan kemudian ada hala tuju. Akhirnya beliau jemput saya, bincang sekali lagi. Lepas putus, tandatangan dan luluslah.

“Ini tak perlu tandatangan, bincang, kata ini hak kami...bukan, ini bukan hak ahli Parlimen. Rundinglah, lepas itu lulus.

“Kalau tak nak runding, tunggulah sampai bila pun. Saya tidak akan luluskan,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika sesi pergulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu mengkritik kenyataan pemimpin pembangkang yang mendakwa tiada peruntukan diberikan ke kawasan mereka.

Sedangkan ujar beliau, ia hanya melibatkan untuk ahli Parlimen sahaja.

"Peruntukan di kawasan dan rakyat tetap disalurkan melalui beberapa projek untuk rakyat," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!