Pokok tumbang hempap dua kereta
SUNGAI BULOH - Dua lelaki berdepan detik cemas apabila sebatang pokok menghempap kereta yang dipandu mereka dalam kejadian di Persiaran Perdana Bandar Sri Damansara di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.19 petang.
"Seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, kita mendapati pokok tumbang serta menghempap sebuah kereta Proton Preve dan Mazda," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Mukhlis berkata, keadaan kedua-dua pemandu berusia 20 dan 32 tahun itu selamat serta tidak mengalami kecederaan
"Kedua-dua lelaki itu telah dikeluarkan oleh orang awam. Pihak bomba sedang menjalankan kerja-kerja mengalihkan batang pokok yang menghalang laluan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!