Kerajaan tidak campur tangan penetapan harga tiket MAS - Anthony Loke
Beliau berkata, MAS yang sedang memulihkan perkhidmatan hidangan makanan lengkap dalam penerbangan, tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana syarikat penerbangan kos rendah memandangkan imejnya sebagai syarikat penerbangan nasional.
"Saya ada memberi cadangan kepada MAS supaya penumpang terjejas perlulah diberikan sedikit layanan tambahan, dan contohnya ada point tambahan diberikan.
"Saya pasti servis dan makanan yang dibekalkan oleh pihak Malaysia Airlines mesti ditambah baik, ini bukan sesuatu yang kita nafi. Bagi harga, (perkara) itu pihak pengurusan Malaysia Airlines kena lihat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang bangun mencelah meminta penjelasan mengenai cadangan untuk merendahkan tambang penerbangan MAS ketika syarikat tersebut menguruskan masalah katering dalam penerbangannya.
Anthony berkata, MAS akan memulihkan perkhidmatan hidangan makanan dalam penerbangannya secara beransur-ansur.
"Memang betul ada sektor yang diberikan pack food (makanan yang dipek) tetapi ada laluan yang pulih sepenuhnya. Umpamanya, minggu lepas saya menggunakan pesawat MAS bagi laluan ke Kuching yang perkhidmatan hidangan (makanan dalam penerbangan) telah dipulihkan.
"Kita tidak nafikan perlu ada penambahbaikan bagi harga. Itu pihak pengurusan MAS kena lihat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!