Guna peruntukan wakil rakyat secara peribadi satu kesalahan rasuah - PM
KUALA LUMPUR - Mana-mana ahli Parlimen bertindak 'menghulur wang' secara peribadi kepada orang lain dengan menggunakan peruntukan untuk wakil rakyat dikategorikan sebagai satu kesalahan rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya itu berlaku, tindakan boleh diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya nak bagi ingatan, wang ini kalau digunakan untuk bagi orang kahwin dan sebagainya, kita akan ambil tindakan oleh SPRM.
"Tak boleh (beri guna peruntukan wakil rakyat untuk tujuan itu)," katanya ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor mendakwa beliau terpaksa menggunakan duit sendiri untuk memberi 'sedekah' ketika menziarahi kematian dalam kawasannya.
Khlir juga dilapor berkata, pejabat pusat khidmatnya juga tidak dapat beroperasi kerana tidak mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian.
Sehubungan itu, dia berharap Anwar dapat berlaku adil kepada semua ahli Parlimen pembangkang dengan memberi peruntukan sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!