Hubungan India-Kanada meruncing
NEW DELHI - India menolak dakwaan bahawa kerajaannya dikaitkan dengan pembunuhan aktivis Sikh di Kanada sebagai 'tidak masuk akal', selepas mengusir seorang diplomat kanan Kanada dan menuduh Ottawa campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu.
Tindakan itu berlaku selepas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyebut dakwaan yang boleh dipercayai bahawa India terbabit dalam kes pembunuhan Hardeep Singh Nijjar.
Nijjar adalah penyokong kemerdekaan Sikh dari India yang ditembak mati pada 18 Jun lalu di luar pusat kebudayaan Sikh di Surrey, British Columbia.
Sebelum itu, Kanada mengambil langkah sama dengan mengusir diplomat India.
"Sebarang pembabitan kerajaan asing dalam pembunuhan warganegara Kanada di tanah air Kanada adalah pencabulan kedaulatan yang tidak boleh diterima.
"Saya menggesa kerajaan India bekerjasama dengan Kanada untuk menyelesaikan perkara ini," kata Trudeu kepada Parlimen pada Isnin.
Pengusiran balas tersebut dibuat ketika hubungan antara Kanada dan India semakin tegang.
Dalam kenyataannya mengumumkan pengusiran itu, Kementerian Hal Ehwal Luar India menulis bahawa ' keputusan itu mencerminkan kebimbangan kerajaan India semakin meningkat terhadap campur tangan diplomat Kanada dalam hal dalaman dan penglibatan mereka dalam aktiviti anti-India'.
Sebelum dibunuh, Nijjar telah menganjurkan referendum tidak rasmi di India dengan menuntut sebuah negara Sikh yang merdeka. India mengumumkan ganjaran wang tunai sehingga membawa penahanan terhadap aktivis itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!