PM jamin harga beras tempatan tidak naik

Anwar Ibrahim. - Foto Bernama.
Anwar Ibrahim. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi jaminan bahawa tiada kenaikan harga beras tempatan.

Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan menteri-menteri yang berkaitan untuk turun padang dan memantau harga barangan di pasaran memandangkan isu berkenaan tidak boleh diambil ringan oleh kerajaan.

"Walaupun kita beri jaminan harga beras tempatan tidak naik tapi ada laporan tentang kekurangan di beberapa tempat dan mesti ditangani dengan baik, cuma saya harap Ahli Yang Berhormat faham (contohnya) kenaikan harga bawang, fahamkanlah bahawa sejak Ogos lalu duti eksport bawang dari India naik 40 peratus.

... dan kita kena faham ini, dan India buat keputusan naikkan duit eksport bawang 40 peratus dan tentunya bagi kita dari Malaysia yang membeli bawang dari India akan terkesan dari harga itu begitu juga keputusan India bulan lalu untuk hadkan (eksport) beras putih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasarkan teori bekalan dan permintaan perkembangan berkenaan sudah pasti akan mengakibatkan kenaikan harga barangan.

Justeru, kerajaan telah mengambil langkah dengan memberikan tambahan subsidi bagi menjamin harga beras tempatan di paras yang rendah.

"... jadi ikut teori bekalan dan permintaan bila eksport dihadkan harga naik maka kita tambah subsidi untuk menjamin beras tempatan tidak naik harga," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, Anwar mengulangi pendirian Kerajaan Perpaduan yang terbuka dan bersedia untuk berunding mengenainya seperti yang dilakukan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Bahkan katanya, beliau telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai wakil daripada pihak kerajaan untuk mengetuai perbincangan mengenai perkara itu.

"Keputusan muktamad daripada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, seperti mana yang diluluskan Bera (Ismail Sabri) semasa dia menjadi Perdana Menteri, peraturan yang lebih kurang kita guna. Hendak peruntukan, bincang...runding, jangan sombong dan angkuh,” kata Perdana Menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!