JDT tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale

Pemain lincah JDT, Arif Aiman cuba melepasi kawalan pertahanan dan penjaga gol Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), pada Selasa. - Foto FB Johor Southern Tigers
Pemain lincah JDT, Arif Aiman cuba melepasi kawalan pertahanan dan penjaga gol Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), pada Selasa. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 0-1, kepada Kawasaki Frontale, di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kawasaki Frontale bermula garang sebaik wisel permulaan menerusi beberapa gerakan berbahaya ke gawang tuan rumah dalam usaha membuka jaringan.

Namun, kesemua asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan skuad Harimau Selatan itu.

Pelawat hampir membuka jaringan pada minit ke-13, namun rembatan Akhiro Ienaga tinggi melepasi palang gol.

Skuad Gremio itu sekali lagi hampir membuka jaringan pada minit ke-31 namun percubaan penyerang, Mario Barbosa, berjaya ditanduk keluar kapten JDT, Jordi Amat biarpun penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah pun tertewas.

Seminit berselang, giliran tuan rumah memperolehi peluang terbaik meledak jaringan pembukaan, namun rembatan Bergson Da Silva berjaya ditampan penjaga gol pelawat, Jung Sungryong.

Kawasaki Frontale akhirnya membuka jaringan hasil jaringan Mario Barbosa pada minit ke-45, untuk pelawat selesa memimpin perlawanan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua menyaksikan JDT mula menggandakan asakan bagi menjaringkan gol penamaan.

Artikel Berkaitan:

Usaha mereka hampir membuahkan hasil apabila pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat, namun percubaannya sekadar melintasi pintu gol lawan.

Beberapa percubaan skuad Harimau Selatan selepas itu turut gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang pertahanan pelawat.

JDT dilihat terus buntu untuk merobek gawang lawan dan kedudukan 1-0 berpihak kepada pelawat kekal hingga ke wisel penamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!