Antara Mondy, Ebit Lew dan Caprice, siapa betul?
MEMANG ramai netizen termasuklah Merak Jalanan jadi tidak senang duduk sejak warga Indonesia, Mondy Tatto yang sebelum ini tular dibantu Ustaz Ebit Lew membuat pelbagai dakwaan ‘tidak enak’ mengenai pendakwah itu.
Semua cerita tentang apa yang berlaku sejak sampai ke Malaysia diluahkan Mondy dalam siaran podcast kendalian penyanyi rap dan aktivis masyarakat, Caprice.
Merak Jalanan tidak mahu memenangkan sesiapa, tetapi memanglah tidak wajar apabila hanya satu pihak sahaja bersuara lantang, sedangkan pihak satu lagi dibuka aib tanpa ada ruang untuk mempertahankan diri.
Apatah lagi kisah yang dikongsi Mondy agak ‘menggerunkan’ dan tuduhannya sangat berat apabila dia menggambarkan dirinya menjadi mangsa gangguan seksual.
Lebih memburukkan keadaan, siaran podcast itu juga dikongsi entah berapa puluh ribu netizen di pelbagai platform media sosial milik mereka dan kebanyakan media utama juga memetik kenyataan Mondy sebagai sumber berita.
Ke mana perginya rasa kemanusiaan kita dan etika segelintir daripada kita?
Jika kedua-dua belah pihak memberikan kenyataan, pastinya tiada masalah kerana ia adil untuk mereka.
Tetapi persoalannya kini, siapa mampu buktikan Mondy betul dan Ebit salah, atau Ebit betul, Mondy yang salah?
Mampukah untuk dibuktikan kebenaran, sedangkan kita sendiri tidak tahu hujung pangkal cerita!
Bagi Merak Jalanan, sama ada siaran podcast tersebut atau mana-mana berita yang dibuat berdasarkan ulasan sebelah pihak, harus dihenti dan dipadam segera.
Ini kerana ia jadi cerminan tidak baik kepada bangsa lain yang melihat orang Melayu memang suka kepada kisah picisan yang tidak berpaksi sumber dan fakta.
Sebaiknya kita tunggu sahaja jika kes ini dibawa ke mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!