Sampai masa generasi baharu barakan semula prestij Pestabola Merdeka

Laporan Sukan Sinar pada Selasa. Gambar kiri: Faisal
Laporan Sukan Sinar pada Selasa. Gambar kiri: Faisal
A
A
A

TIBA masanya pemain generasi baharu untuk mengembalikan semula kegemilangan Pestabola Merdeka sekali gus mengangkat prestij kejohanan itu ke tahap lebih tinggi.

Pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim berkata, kejohanan terulung di Asia itu sudah lama tidak diadakan dan para pemain negara tidak sabar untuk bermain dan cuba meraih kejuaraan mengulangi pencapaian gemilang pasukan negara sejak dahulu.

“Kami pemain generasi baharu mahu memastikan prestij kejuaraan Pestabola Merdeka dikembalikan semula selepas sekian lama tidak dianjurkan selama ini.

“Semangat pemain berkobar-kobar dan kami akan beri yang terbaik dalam kejohanan ini untuk rakyat Malaysia sekali gus mengangkat kembali kejohanan ini,” katanya.

Pestabola Merdeka yang pernah meniti zaman kegemilangan sebagai kejohanan terulung di Asia melalui zaman suramnya apabila gagal menggamit pasukan besar sejak 1988 dan kali terakhir diadakan pada 2013.

Selepas 10 tahun, ia kembali dianjurkan semula melibatkan perlawanan kalah mati di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 Oktober sehingga 17 Oktober

Skuad Harimau Malaya akan menentang India yang berada di ranking ke-99 dunia manakala Palestin (96) pula akan berdepan Tajikistan (110).

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan membuat perhitungan di perlawanan akhir bagi merangkul kejuaraan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Malaysia menjulang trofi kemenangan 10 kali sejak 1958, muncul naib juara tujuh kali dan berkongsi juara dua kali dengan Korea Selatan pada (1960 dan 1979) manakala Korea Selatan memenangi tujuh kali.

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Ahmad Syihan
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Ahmad Syihan

Dalam pada itu, penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menyifatkannya sebagai rezeki untuknya apabila dapat bermain dalam kejohanan yang pernah diiktiraf sebagai terbaik di Asia.

Malah katanya, ia juga satu penghormatan apabila dapat beraksi kerana sebelum ini dia hanya menonton kejohanan tersebut di depan televisyen.

“Satu rezeki untuk Syihan dan semua pemain juga teruja untuk beraksi di tempat sendiri dan di hadapan penyokong sendiri sudah tentu pasukan negara akan buat yang terbaik.

“Pestabola Merdeka sebelum ini memang meriah dan Syihan hanya tengok di kaca televisyen sahaja dan Alhamdullilah rezeki untuk saya bermain dalam kejohanan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!