Badan ditugaskan perlu bebas, berkecuali
SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperincikan lebih lanjut tentang penglibatan badan berkanun Persekutuan sebagai entiti bebas dan berkecuali dalam tujuh pertimbangan penetapan dasar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, sekiranya kerajaan tidak berbuat demikian, ia akan menimbulkan kebimbangan tentang peranan badan itu dalam mengawal selia urusan pendanaan politik.
“Pada pandangan saya, adalah perlu untuk kerajaan memastikan ketelusan dan kesahihan dana yang masuk serta digunakan oleh ahli politik.
“Adakah badan berkanun itu adalah lantikan daripada government of the day yang mana ia bebas dan berkecuali?” soalnya.
Beliau berkata, mana-mana badan yang ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab tersebut perlu bebas dan berkecuali agar tidak timbul masalah integriti kerana akan menjejaskan ketelusan dan lari dari tujuan asal RUU itu dilaksanakan.
Dalam pada itu katanya, penetapan berkenaan juga perlu disusuli proses pengauditan.
“Audit perlu diadakan bagi hal berkaitan pengurusan pejabat dan hal ehwal parti serta program-program yang dijalankan melibatkan dana sumbangan orang ramai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!