Pemandu, dua penumpang bas ekspres maut
LIPIS - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu dan dua penumpang maut selepas bas ekspres dua tingkat yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 81 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Kubang Rusa di sini awal pagi Rabu.
Mangsa yang maut ialah pemandu bas, Ab Aziz Daud, 63, beralamat di Kampung Lalang Luas Joh Labak, Manchang serta dua penumpang iaitu anggota bomba, Shukri Mat Noor, 55, beralamat di Kuala Krai, Kelantan dan seorang buruh binaan warga Bangladesh, Hossain Kamal, 41.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku pada jam 1.50 pagi semasa bas yang membawa 18 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, enam penumpang lain cedera manakala pemandu kedua bas tersebut, Che Bukhari Che Mat, 39, mengalami kecederaan patah kaki kiri.
"Siasatan awal mendapati pemandu bas bersama pemandu kedua dan 18 penumpang meneruskan perjalanan selepas berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Merapoh.
"Apabila sampai di tempat kejadian, ketika sedang bergerak melalui selekoh dan dipercayai hilang kawalan lalu bas berkenaan terbabas ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujar Azli, akibat kemalangan tersebut, pemandu dan dua orang penumpang meninggal di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
"Enam penumpang dan pemandu kedua juga sedang dirawat di hospital sama," tambahnya.
Beliau juga memberitahu, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan turut mendapati pemandu memiliki 22 saman lampau pelbagai kesalahan dan telah dijelaskan," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.55 pagi.
Ujar beliau, enam anggota bersama tiga pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis serta tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Operasi juga menerima bantuan dari BBP Gua Musang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merapoh.
"Pasukan bomba terlibat membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menghantar mangsa ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!