‘Pemisahan kuasa mampu kembalikan kepercayaan rakyat’
SHAH ALAM - Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya mampu mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Zarina Zainal Abidin berkata, pemusatan kuasa oleh Perdana Menteri terhadap badan eksekutif, perundangan dan judisiari perlu dihapuskan segera bagi memastikan tiada isu ketirisan dalam mengadili sesuatu kes terutama pemimpin atau ahli politik.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memburukkan lagi keadaan sedia ada.
“Pada pendapat saya pengasingan kuasa ini sangat perlu dilaksanakan agar tidak berlaku sebarang ketidakadilan dalam undang-undang.
“Sekiranya Ahmad Zahid mahu menjadi seorang hero beliau perlu melalui proses perundangan daripada awal hingga akhir dan mahkamah sendiri menentukan sama ada bersalah atau tidak.
“Badan eksekutif, kehakiman dan judisiari merupakan pertindihan kuasa oleh Perdana Menteri. Ini memang kita lihat tidak adil dan perlu ada pemisahan kuasa secepat mungkin,” katanya dalam Wacana Sinar Harian siri 413 bertajuk ‘DNAA: Dilema keputusan Pendakwa Raya’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.
Turut hadir Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Peguam Kanan, Haniff Khatri Abdullah dan Peguam Bela merangkap Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Selasa.
Dalam pada itu, menurut Zarina, Himpunan Selamatkan Malaysia yang berlaku pada 16 September lalu menunjukkan isyarat rakyat sudah muak dengan keadaan negara yang semakin dibelenggu pelbagai masalah.
Ujarnya, masyarakat ingin melihat penambahbaikan dan memastikan negara terus membangun dengan lebih baik.
“Rakyat sudah beri isyarat betapa mereka tidak suka dan benci dengan keadaan negara sekarang ini sehingga sanggup ke jalanan menentang keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
“Rakyat kita hanya mahukan perubahan yang lebih baik tetapi pemimpin pada hari ini masih tidak berubah malah semakin teruk,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!