Jenayah indeks KL turun 10.3 peratus

Allaudeen ketika memberi ucapan dalam perhimpunan bulanan di IPK Kuala Lumpur pada Rabu.
Allaudeen ketika memberi ucapan dalam perhimpunan bulanan di IPK Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Statistik jenayah Indeks di Kuala Lumpur, melibatkan jenayah kekerasan dan harta benda mencatatkan penurunan sebanyak 344 kes atau 10.3 peratus sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, berbanding 3,349 kes pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, jenayah kekerasan secara keseluruhannya mencatatkan penurunan sebanyak 115 kes atau 15.6 peratus pada tahun ini berbanding 738 kes bagi tahun sebelumnya.

"Begitu juga dengan jenayah harta benda yang turut mencatatkan penurunan sebanyak 229 kes atau 8.8 peratus," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Allaudeen berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah merampas pelbagai jenis dadah yang benilai RM53.3 juta sejak Januari hingga Ogos lalu.

"Statistik perbandingan tangkapan Januari hingga Ogos lalu dan tempoh yang sama bagi tahun lalu menunjukkan peningkatan seramai 350 orang iaitu 9,765 orang bagi tahun ini berbanding 9,415 orang pada tahun lalu," katanya.

Allaudeen berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mencatatkan peningkatan kejayaan tangkapan pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian.

"Sejak Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 64 kes berbanding 57 kes pada tahun sebelumnya dengan kadar pertuduhan untuk tahun ini sebanyak 58 peratus," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 24,155 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Polis Kuala Lumpur dalam Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya bagi Fasa 2 sejak 15 September lalu.

Artikel Berkaitan:

"Operasi sebegini adalah untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang," katanya.

Allaudeen berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 157 kertas siasatan tatatertib (KST) bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu berbanding 164 KST pada tahun sebelumnya melibatkan pelbagai salah laku di kalangan pegawai dan anggota.

"Sebanyak 18 orang pegawai dan anggota yang telah diambil tindakan hukuman buang kerja dan enam orang diturunkan pangkat dalam tempoh sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!