Dua kontraktor didakwa lagi, perdaya lembaga pengelola sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua kontraktor yang sebelum ini didakwa memperdaya lembaga pengelola sekolah vernakular berhubung baik pulih fasiliti didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan sama membabitkan jumlah RM875,000, tiga tahun lalu.

Mohd Syafeeq Mohd, 40, dan Cheah Seng Nam, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memperdaya Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Semenyih untuk menyerahkan wang berkenaan kepada mereka.

Ia dengan mempercayai mereka adalah kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti di sekolah berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Cawangan Taman Midah di sini pada 27 Ogos hingga 8 Oktober 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Semasa prosiding, Pengawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman mencadangkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mencadangkan mereka dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar setiap anak guamnya diikat jamin sebanyak RM12,000 kerana mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Menurutnya, Mohd Syafeeq menjalankan perniagaan di kedai minuman secara kecil-kecilan manakala Seng Nam, seorang bapa tunggal perlu menjaga seorang anak berusia tujuh tahun selepas isterinya meninggal dunia.

“Saya tidak membantah dengan syarat tambahan tersebut, namun untuk maklumat mahkamah, dua anak guam saya sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan sama.

“Oleh itu, pasport mereka telah diserahkan kepada mahkamah berkenaan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozina membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula ditetapkan pada 25 Oktober depan.

Pada 13 September lalu, dua lelaki itu didakwa Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan memperdaya lembaga pengelola sekolah dengan menjalankan kerja baik pulih fasiliti bernilai lebih RM1.2 juta, tiga tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!