Kerajaan sasar peningkatan 40 peratus penggunaan teknologi nuklear

Lih Kang
Lih Kang
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menyasarkan peningkatan penggunakan teknologi nuklear sebanyak 40 peratus dengan nilai pelaburan industri RM2.4 bilion menjelang tahun 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, sasaran tersebut selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang merupakan signifikan dalam usaha kementerian untuk merangka hala tuju strategik jangka panjang bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga tahun 2030.

"Walaupun negara telah menggunakan teknologi nuklear secara meluas lebih daripada 40 tahun, kita harap dasar yang dilancarkan hari ini mampu membantu negara mencapai sasaran tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan DTNN 2030 di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dasar tersebut juga menyokong matlamat negara ke arah mencapai hasrat menjadi negara berteknologi tinggi seperti yang diaspirasikan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.

"Strategi dan inisiatif yang digariskan dalam dasar ini memberi penekanan untuk mewujudkan ekosistem teknologi nuklear negara yang mampan serta membentuk asas yang kukuh dalam mengarusperdanakan teknologi nuklear secara aman," ujar beliau.

Lih Kang berkata, pelaksanaan DTNN 2030 membolehkan negara memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosio-ekonomi negara dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju lain.

Untuk tujuan itu, DTNN 2030 menetapkan empat teras strategik, 18 strategi dan 13 sasaran utama melibatkan pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor ekonomi yang telah dikenalpasti bagi mencapai visi dan hala tuju ekosistem teknologi nuklear negara.

Selain itu, dasar itu telah mengenalpasti enam sektor fokus utama sebagai sektor yang boleh dipertingkatkan keupayaannya melalui penggunaan teknologi nuklear perubatan dan penjagaan kesihatan, makanan dan pertanian, pembuatan peranti serta peralatan.

Artikel Berkaitan:

Ia turut melibatkan pengurusan alam sekitar dan sumber asli, aplikasi perindustrian dan keselamatan serta sekuriti nuklear.

"Melalui pelaksanaan DTNN 2030, bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi akan terus menjadi tonggak dalam pembangunan bidang sains, teknologi dan inovasi di bawah MOSTI," katanya.

Jelas beliau, penggunaan teknologi nuklear yang selamat dan berhemah, dapat memenuhi keperluan sosio-ekonomi.

"Sejajar dengan ini, kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan akan memacu kemajuan teknologi nuklear di Malaysia, yang akan membuahkan manfaat kepada rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!