Pengarah syarikat didakwa guna penyata bank palsu
KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menggunakan penyata bank palsu, empat tahun lalu.
Ahmad Faiz Fikrey Izani, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan penyata Maybank Islamic palsu bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 atas syarikat milik tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada jam 12.01 tengah hari, 20 Februari 2019 lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
“Tertuduh juga perlu memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kelantan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh, merayu agar ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga termasuk dua anak yang masih kecil.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 November depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!