Pesawah di Sekinchan cadang beli mesin pemprosesan kawal harga beras

Abdul Razak menunjukkan mesin memproses beras disumbangkan Jabatan Pertanian untuk kegunaan sendiri dan membantu pesawah menghasilkan beras.
Abdul Razak menunjukkan mesin memproses beras disumbangkan Jabatan Pertanian untuk kegunaan sendiri dan membantu pesawah menghasilkan beras.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pesawah di Sekinchan mula bercadang membeli mesin memproses beras putih bagi menangani kekurangan beras tempatan dan kenaikan harga import.

Seorang pesawah, Ramli Ahmad, 79, berkata, mesin pemprosesan itu amat diperlukan bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi.

Menurutnya, kebanyakan pesawah menjual hasil padi merungut kerana sukar mendapatkan bekalan beras tempatan selain terpaksa membeli beras import pada harga jauh lebih mahal.

"Saya antara salah seorang pesawah yang ingin bersama-sama rakan lain berkongsi membeli mesin memproses beras.

"Jika ada mesin memproses beras ini, setidak-tidaknya kami dapat menjimatkan perbelanjaan membeli beras import yang tinggi disebabkan kesukaran mendapatkan beras tempatan," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Ujarnya, krisis beras bukanlah kali pertama berlaku, malah negara pernah berdepan masalah sama pada tahun 1970-an.

"Kalau 40 tahun dulu, saya masih ingat walaupun ada masalah bekalan beras, tetapi penduduk tidak terputus bekalan kerana ada mesin pemprosesan," ujar Ramli yang mempunyai tanah sawah seluas 12 hektar di Pasir Panjang, Sekinchan di sini.

Seorang peniaga kedai runcit, Siti Mustaqim Mohd Hashim, 33, berkata, ramai pesawah mula memikirkan untuk membeli mesin penghasilan beras sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pesawah sedaya upaya cuba mengurangkan kos lebih-lebih lagi pendapatan mereka bergantung kepada musim menuai enam bulan sekali.

"Saya cadang kepada bapa mentua beli mesin beras sebab selaku peniaga saya sendiri akui stok beras tempatan sukar diperoleh.

"Kalau ada mesin sendiri, setidaknya kita sendiri boleh proses padi kepada beras untuk kegunaan keluarga," menurut Siti Mustaqim.

Seorang pesawah, Abdul Razak Chik, 60, berkata, permohonannya kepada Jabatan Pertanian untuk memiliki sebuah mesin padi 10 tahun lalu ternyata memberi manfaat terutama dalam menghadapi krisis beras ketika ini.

Abdul Razak yang menetap di Sungai Leman berkata, pada mulanya dia hanya mahu memiliki mesin beras selepas melawat ke Thailand dan melihat pesawah di negara itu menghasilkan beras sendiri.

"Saya sudah dua kali terima mesin beras daripada Jabatan Pertanian dan dengan adanya mesin ini, kita dapat proses padi selain membantu pesawah lain," jelas Abdul Razak.

Menurutnya, bagi setiap 80 kilogram (kg) padi, mesin pemprosesan itu mampu menghasilkan kira-kira 40 kg beras dan ia hanya dikenakan caj sebanyak RM20 sahaja.

"Pesawah hanya perlu datang bawa padi yang sudah kering dan kemudian kita proses jadikan beras," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!