Hebatnya godaan Avengers: Endgame

 Avengers: Endgame. (Gambar kecil:Meen Tahrin)
Avengers: Endgame. (Gambar kecil:Meen Tahrin)
A
A
A

SAYA bukanlah fanatik filem Avengers: Endgame yang kini masih lagi hangat ditayangkan di seluruh pawagam di negara kita.

Namun tidak dinafikan saya terpesona dengan godaan yang dilakukan oleh kempen pemasaran dan promosi filem tersebut.

Beberapa bulan sebelum ditayangkan di negara kita, Endgame sudah giat dipromosikan melalui pelbagai medium seperti media cetak dan elektronik.

Media digital sudah pastinya antara yang paling utama.

Dengan kuasa digital tersebut, hampir setiap hari warganet akan bercerita kehebatan Endgame.

Masing-masing menunjukkan betapa mereka tidak sabar, teruja dan boleh jadi tidak keruan jika tidak dapat menonton filem itu.

Walaupun agak pelik tapi itulah realiti yang berlaku.

Justeru, tidak hairanlah apabila semua pawagam di negara kita full house walaupun tayangan selang setengah jam. Hebat bukan?

Artikel Berkaitan:

Paling menarik, semua pawagam hanya menayangkan filem Endgame sahaja pada awal minggu tayangannya.

Tidak ada filem lain yang berani menempah maut bersaing dengan superhero filem itu.

Itulah kelebihan Avengers: Endgames, sebuah filem yang disenaraikan sebagai wajib tonton dan paling ditunggu-tunggu tahun 2019.

Laluan Endgame untuk mencapai tahap box office dilihat begitu mudah kerana sememangnya filem Avengers tidak pernah mengecewakan.

Sungguhpun begitu, pihak Marvel Studio tidak pernah melupakan aspek pemasaran dan promosi supaya dapat menarik lebih ramai penonton.

Melalui rekod Wikipedia, kempen pemasaran untuk filem Endgame ini telah mencecah AS$200 juta melebihi Infinity War yang menelan kos sebanyak AS$150 juta.

Selain itu, kempen Endgames turut menjalinkan kerjasama dengan banyak syarikat besar antaranya Mastercard, McDonald's, Coca-Cola, Google dan Oppo.

Hasilnya, Avengers - Endgame yang menelan belanja keseluruhan sebanyak AS$356 juta itu telah mencapai kutipan sebanyak AS$2.303 bilion setakat artikel ini ditulis.

Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah penggiat-penggiat filem tempatan boleh belajar sesuatu tentang kempen pemasaran dan promosi filem itu.

Selain menghasilkan filem yang bermutu, jangan sesekali melupakan kempen pemasaran yang terbaik untuk kejayaan sesebuah filem itu.

Dalam bahasa ringkas, bajet promosi perlu ada. Dalam bahasa mudah, jangan kedekut untuk kempen.

Melalui pengalaman saya sendiri agak sedih apabila berada di pawagam dan melihat poster sebuah filem Melayu tempatan yang terpampang.

Entah bila dibuat promosi tidak diketahui.

Mungkin hanya berharap pada poster di panggung untuk menarik penonton ataupun mungkin juga sekadar promosi di Facebook atau Instagram asal sekadar ada.

Saya faham, bajet merupakan antara masalah utama namun harus diingatkan pemasaran dan promosi sangat penting untuk memberitahu orang ramai tentang kewujudan sesebuah filem itu. Tanpa kempen dan promosi, bagaimana penonton mahu tertarik ke panggung?

Ini antara kelemahan besar yang disengajakan. Sekadar berharap pada poster dan ihsan buah mulut orang ramai belum tentu boleh berjaya.

Jika mempunyai bajet untuk bikin filem maka wajib ada bajet untuk kempen pemasaran dan promosi.

Jika bajet besar maka adalah lebih mudah untuk urusan promosi. Jika bajet sekadar cukup makan, perlu idea yang lebih kreatif untuk menjadikan kempen filem itu menjadi tular di media sosial.

Antara yang terbaik adalah kisah wanita berkebaya merah yang tular. Rupa-rupanya itu hanyalah gimik mempromosikan filem Dukun terbitan Astro Shaw lakonan cemerlang Umie Aida.

Walaupun ramai yang berasa tertipu tetapi itulah antara kekuatan yang menarik penonton ke pawagam.

Begitu juga dengan filem Misteri Dilaila terbitan Skop Production bersama Astro Shaw. Filem ini memaparkan dua pengakhiran yang berbeza. Justeru, perkara itu menjadi topik perbualan dan membuatkan penonton perlu menonton dua kali.

Mungkin ada yang akan berkata bahawa jika sesuatu filem itu bagus maka penonton tetap akan ke panggung.

Ya benar, saya tidak menafikan perkara itu. Namun, cukup bagus ke sampai tidak perlukan sebarang promosi?

Mungkin juga ada filem yang pulang balik modal walaupun tanpa promosi berlebihan namun sayang jika filem itu benar-benar bagus tetapi hanya ditonton oleh sebilangan khalayak sahaja.

Kalau kita mahu filem kita setaraf filem luar negara maka kita juga harus berfikir pada tahap antarabangsa.

*Meen Tahrin ialah Editor Hiburan, Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!