40 keluarga mangsa ribut di Tambun terima bantuan

Terdapat 20 rumah terjejas akibat ribut di Bandar Baru Putra, lapan rumah di Taman Putra Indah dan sebuah di Taman Indah. - Foto ihsan APM Perak
Terdapat 20 rumah terjejas akibat ribut di Bandar Baru Putra, lapan rumah di Taman Putra Indah dan sebuah di Taman Indah. - Foto ihsan APM Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 40 daripada 78 mangsa kejadian ribut di Bandar Baru Putra, Taman Putra Indah dan Taman Indah di sini akan menerima bantuan kewangan bagi meringankan beban, dengan peruntukan yang disediakan dianggar berjumlah RM78,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, bantuan itu disalurkan menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Perak-ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Kinta.

"Kerosakan rumah yang ditanggung dalam kalangan mangsa adalah berbeza, ada rumah yang bumbungnya tercabut terus dan ada juga rosak sederhana, namun kebanyakannya sedang dibaik pulih, jadi hari ini kita bagi setiap keluarga RM1,000.

"Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa yang terkesan akibat kejadian yang melanda pada petang Sabtu lalu, hari ini kita serahkan bantuan fasa pertama dahulu yang selebihnya kemudian memandangkan ada mangsa yang tak lengkapkan lagi butiran," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Negeri Perak Datuk Shamshuzaman Sulaiman dan Pegawai Khas Kanan Ahli Parlimen Tambun, Muhammad Hairul Amir Sabri.

Menurut Muhamad Arafat, bantuan yang disalurkan kepada mangsa melibatkan tiga peringkat iaitu bantuan awal, bantuan kewangan dan bantuan baik pulih rumah.

"Tindakan awal telah kita ambil melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mana kita salurkan kotak makanan selain rekod mangsa terjejas telah dikumpulkan oleh penghulu.

"Jadi hari ini kita serahkan bantuan kedua iaitu bantuan kewangan dan saya dimaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta sedang menguruskan baik pulih bumbung terjejas dalam kadar segera bagi mengelak kerosakan lebih teruk disebabkan hujan," katanya.

Kejadian pada kira-kira jam 4.42 petang itu menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang dan kerosakan rumah penduduk serta tiang elektrik, namun tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!