Hina agama dengan makan babi, pempengaruh Indonesia dipenjara
JAKARTA - Sebuah mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita atas tindakan keterlaluannya mempersendakan agama Islam.
Pempengaruh, Lina Mukherjee, 33, disabit bersalah oleh hakim di Palembang, Sumatera Selatan pada Selasa kerana menyebarkan maklumat bertujuan mencetuskan kebencian agama terhadap individu dan kumpulan agama tertentu.
Tindakan tegas dikenakan ke atas Lina berhubung video provokasi dikongsi wanita itu pada Mac lalu yang membaca doa ketika mahu menjamah hidangan babi dan meraih jutaan tontonan.
Tertuduh yang mengakui dirinya sebagai Muslim menerima kritikan banyak pihak termasuk badan ulama tertinggi, Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang dengan lantang menyifatkan perbuatannya sebagai menghina agama.
Lina turut didenda 250 juta rupiah (RM76,175) yang mana tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan jika gagal membuat sebarang bayaran.
Difahamkan, ia adalah kes terbaharu menghina agama yang menggemparkan negara majoriti Islam tersebut.
Pada tahun lalu, pihak berkuasa menahan enam individu atas kesalahan sama berhubung promosi minuman alkohol percuma yang ditawarkan sebuah rangkaian bar untuk pelanggan bernama Mohammed.
Hukuman tegas itu tidak hanya dikenakan ke atas rakyat biasa malah bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok juga pernah dipenjarakan selama hampir dua tahun berhubung kenyataannya ketika berkempen pada 2017. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!