TLDM sertai latihan solidariti ASEAN di Batam, Indonesia
JAKARTA - Tentera Laut Diraja Malaysia telah menghantar sebuah kapal untuk mengambil bahagian dalam latihan bukan ketenteraan dikenali sebagai Latihan Solidariti ASEAN di Batam, Indonesia bermula 18 hingga 25 September.
Menurut Angkatan Tentera Malaysia (ATM), latihan itu bertujuan meningkatkan usaha dalam bantuan kemanusiaan, bantuan bencana, kerjasama awam-tentera, operasi mencari dan menyelamat serta keselamatan maritim.
Kapal Diraja (KD) Terengganu kini ditempatkan di Batam untuk menyertai latihan selama lapan hari dan berlangsung di Laut Natuna dan Sabang Mawang, Riau, menurut ATM dalam catatan di Facebook.
Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) selaku tuan rumah mengerahkan dua kapal tentera laut (KRI) iaitu KRI dr. Radjiman Wedyodiningrat-992 dan KRI Jhon Lie-358.
Dua lagi kapal, Kapal Singapura (RSS) Vigor dan Kapal Diraja Brunei (KDB) turut menyertai sesi latihan berkenaan.
Negara-negara ASEAN lain, seperti Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, dan Vietnam, mengambil bahagian sebagai pemerhati.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menghadiri majlis perasmian yang disempurnakan Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono di Batam, pada Selasa.
Mohammad menyatakan harapannya bahawa latihan itu akan membantu mengekalkan perpaduan di kalangan negara-negara anggota dan memelihara pemusatan ASEAN di rantau ini.
Yudo, yang mencadangkan latihan itu semasa Mesyuarat Ketua Angkatan Pertahanan ASEAN ke-20 di Bali pada 7 Jun, berkata: "Aktiviti ini akan mengukuhkan dan meningkatkan keupayaan kami dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keselamatan di rantau ini.” - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!