Cake sangkal pembelian panik punca beras tempatan tiada di pasaran
ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) tidak setuju dakwaan pembelian panik oleh pengguna menjadi punca kepada ketiadaan beras tempatan di pasaran.
Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta melakukan pemeriksaan di pasar raya kerana tempat itu menjadi antara lokasi beras tempatan banyak dijual sebelum ini.
Menurutnya, sebelum Ini bekalan beras tempatan berada dalam keadaan baik namun selepas pengumuman menaikkan harga beras import pada 1 September, secara tiba-tiba beras tempatan sangat berkurangan di pasaran.
"Cake menyangkal dakwaan pembelian panik oleh pengguna yang menyebabkan ketiadaan beras tempatan di pasaran.
"Kalau berlaku pembelian panik, kita nasihatkan KPDN agar buat pemeriksaan di pasar raya jumlah pembelian sebab semua ada data, resit selain jumlah bekalan yang dihantar ke pasar raya itu dan jumlah pengguna.
"Kalau di situ kita boleh nampak pengguna buat pembelian panik atau tidak dan boleh baca dari segi data dan sebagainya.
"Peruncit sukar dapat bekalan tapi bekalan beras tempatan tu hilang di mana dan kami tetap dengan kenyataan (persoalan) ke mana beras tempatan itu pergi," katanya pada sidang akhbar semasa ditemui selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.
Seorang peniaga, Che Muri Lazim, 65, berkata, sejak harga beras import diapungkan, dia sudah tidak lagi menerima beras tempatan daripada pemborong untuk dijual di kedainya.
"Sebelum ini saya dapat menjual 20 kampit beras tempatan untuk lima kilogram (kg) manakala 15 kampit beras untuk 10 kilogram.
"Tapi selepas 1 September, sudah tidak ada beras tempatan yang dihantar ke kedai saya. Beras import pula saya tidak dapat jual kerana tidak ada sambutan.
"Pelanggan saya terdiri di kalangan peniaga kedai makan, dan mereka akan beli terus di sini tetapi sekarang bekalan beras tempatan sukar diperoleh menyebabkan stok habis terus," katanya.
Pada Isnin, Dewan Rakyat diberitahu kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran terjadi kerana berlaku pembelian panik atau 'panic buying' oleh pengguna dan peniaga.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, apabila beras import naik harga, permintaan terhadap beras putih tempatan melonjak.
"Bila berlaku kenaikan harga beras import begitu tinggi, yang selalu beli beras import berubah (pembelian) ke beras tempatan menyebabkan berlaku kekurangan (bekalan di pasaran).
"Sebelum ini beras tempatan tidak dipedulikan sangat termasuk oleh para peniaga," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!