Iftar beramai-ramai serlah semangat kejiranan
JELEBU- Penduduk di Taman Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) Anggerik 2 Felda Pasoh 1, di Simpang Pertang di sini tidak melepaskan peluang untuk menyambut iftar secara beramai-ramai.
Mereka secara ‘berjemaah’ duduk bersila di atas tikar yang dihamparkan di atas jalan di luar rumah masing-masing yang jelas menyerlahkan semangat kejiranan.
Wakil penduduk, Mohd Tarmizi Mohd Hanifah,33, berkata, idea berkenaan timbul dua hari sebelum majlis berlangsung yang dicetuskan oleh pengerusi persatuan penduduk, Rosli Omar.
“Idea ini spontan dan tak sangka ia berjaya. Setahu saya kalau ada pun kawasan taman perumahan buat majlis berbuka puasa, mereka sedia kerusi dan meja, tapi kami hanya bentang tikar atas jalan raya.
“Suasana santai begini sangat menyeronokkan dan ia juga menjimatkan kos kerana kami tak perlu sewa kerusi dan meja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, juadah berbuka dibuat secara ‘potluck’, yang mana setiap penduduk akan membawa hidangan masing-masing.
Katanya, ia bukan sekadar jadi majlis berbuka puasa semata-mata sebaliknya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mereka.
“Kita cadang nak buat setiap minggu, tapi bergantung kepada keadaan dan kelapangan waktu semua jiran.
“Tujuan kita nak hidupkan kembali semangat kejiranan seperti zaman nenek moyang kita dulu yang sangat akrab seperti satu keluarga, " katanya.
Tambahan pula Mohd Tarmizi berkata, mereka pula tidak ramai kerana hanya terdapat 30 unit rumah sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!