Tegur salah laku pemimpin, jangan diamkan sahaja - Ustaz Azhar Idrus

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menegaskan, kita wajib menegur jika orang atasan melakukan kesilapan.

Jangan takut untuk menegur salah laku pemimpin kerana bimbang beri kesan pada kiri.
Jangan takut untuk menegur salah laku pemimpin kerana bimbang beri kesan pada kiri.
A
A
A

KADANGKALA kita nampak salah laku pemimpin di depan mata, namun terpaksa membutakan mata. Bimbang ia akan memberi impak kepada diri.

Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Bukan apa, khuatir andai diri dibuang kerja atau diambil tindakan.

Situasi itu kerap kali berlaku di mana-mana dalam sesebuah organisasi. Tidak kiralah sama ada kepimpinan di peringkat negara, negeri, pejabat, jabatan, keluarga dan lain-lain.

Ini kerana setiap daripada kita jika bukan pemimpin organisasi, pasti menjadi ahli yang dipimpin.

Namun, sampai bilakah harus berdiam diri? Lebih-lebih lagi saat kita melihat pemimpin atau orang atasan masing-masing secara terang-terangan mengambil rasuah dan melakukan salah guna kuasa.

Apakah hukumnya kita menegur salah laku pemimpin?

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menegaskan, kita wajib menegur jika orang atasan kita melakukan kesilapan.

Artikel Berkaitan:

Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus

“Siapa yang mengetahui salah laku pemimpin sama ada terlibat rasuah, salah guna kuasa, berbuat zalim, menipu atau seumpamanya, maka wajib untuk mereka menasihat dan mencegah kemungkaran tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Perkara itu selari dengan hadis yang diriwayatkan daripada Tamim ad-Dari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Jawab Rasulullah: Bagi ALLAH dan bagi kitab-NYA dan bagi Rasul-NYA dan bagi pemimpin-pemimpin orang Islam dan bagi sekalian orang awam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Andai orang yang mengetahui kemungkaran berlaku datang daripada pemimpin yang lebih besar kuasanya, pendakwah itu menjelaskan, dirinya wajib mengenakan tindakan ke atas individu terlibat dengan salah laku berkenaan.

Antaranya dengan cara memanggil dan memintanya segera berhenti daripada perbuatan salah tersebut atau menggantung jawatannya atau memecatnya sekira-kira maslahat (seminimum mungkin), ungkapnya.

“Jika yang mengetahui salah laku itu ialah orang yang diberikan kuasa oleh rakyat untuk mencegah rasuah dan salah laku seperti anggota keselamatan misalnya, maka wajib ke atasnya untuk bertindak menyoal atau menangkapnya dan dibuat dakwaan ke atasnya apabila ada bukti.

“Andai orang awam atau penyokongnya tahu kemungkaran tersebut, wajib untuk dia laporkan kepada lembaga disiplin atau pihak atasan yang amanah dan boleh dipercayai. Ini kerana jika dilaporkan kepada orang atasan yang berperangai sama adalah perbuatan yang sia-sia,” katanya.

Daripada Abu Said Al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa sahaja yang telah melihat akan satu kemungkaran, maka hendaklah dia ubah kemungkaran itu dengan tangannya. Maka jika dia tidak mampu dengan tangannya, maka ubahlah dengan lidahnya. Maka jika dia tidak mampu dengan lidahnya, maka (bencilah) dengan hatinya. Dan bermula benci dengan hati itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ketahuilah bahawa, mereka yang tidak mencegah kemungkaran ialah orang yang binasa.

Sedangkan mencegah yang mungkar itu adalah wajib, inikan pula jika tidak melakukannya, maka ia adalah haram dan berdosa.

Begitu juga halnya bagi orang yang tahu, tetapi mendiamkan diri daripada bertindak mencegah kemungkaran seperti rasuah dan seumpamanya yang dilakukan oleh pemimpin.

Tegas Ustaz Azhar Idrus, haram berbuat demikian.

Wajib tegur jika orang atasan melakukan kesilapan dan jangan ambil pendekatan mendiamkan diri sahaja.
Wajib tegur jika orang atasan melakukan kesilapan dan jangan ambil pendekatan mendiamkan diri sahaja.

“Salah laku seperti ini adalah sangat keji lagi kotor dan maksiat yang sangat besar kebinasaannya pada diri sendiri dan keluarga, masyarakat serta negara dan ia lebih merosakkan daripada dosa minum arak, berjudi dan seumpamanya.

“Perbuatan mendiamkan diri daripada melarang dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin sendiri dan kaum keluarga sendiri adalah perilaku yang dilaknat. Malah, ia adalah perangai orang-orang Yahudi Bani Israel,” ujarnya.

Seperkara lagi, agamawan itu turut memperbetulkan persepsi ramai yang menganggap menegur salah laku pemimpin akan merosakkan bangsa.

Hakikatnya jelas beliau, pernyataan itu tidak benar sama sekali dan ia hanyalah sekadar alasan bagi menghalalkan kemungkaran tersebut.

“Mengertilah, siapa yang menegur pemimpin yang salah, mereka ialah orang yang sayangkan bangsa dan negaranya.

“Sebaliknya, sifat mendiamkan diri tidak menegur atau mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh orang atasan itulah yang sebenarnya meruntuhkan dan merosakkan bangsa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus mengingatkan agar kita tidak mudah gentar kehilangan pekerjaan atau takutkan kematian, cercaan atau seumpamanya.

“Ini kerana ALLAH SWT yang menjamin rezeki hamba-NYA dan ajal seorang hamba juga berada di tangan ALLAH.

“Setiap manusia juga akan disoal daripada apa yang telah diketahuinya pada hari akhirat nanti,” titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!