Jerat mangsa dengan ayat cinta, 9 individu diberkas

Sembilan individu disyaki terlibat dengan sindiket penipuan 'love scam' ditahan dalam serbuan di tiga unit kediaman di Jalan P Ramlee, di ibu negara pada Selasa. (Gambar kecil: Allaudeen)
Sembilan individu disyaki terlibat dengan sindiket penipuan 'love scam' ditahan dalam serbuan di tiga unit kediaman di Jalan P Ramlee, di ibu negara pada Selasa. (Gambar kecil: Allaudeen)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai sembilan individu termasuk seorang wanita warga asing yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan 'love scam' ditahan dalam serbuan di tiga unit kediaman di Jalan P Ramlee, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sindiket penipuan itu menggunakan gambar profil individu dari luar negara di media sosial untuk menipu mangsa dengan menggunakan ayat-ayat cinta melalui skrip yang disediakan.

"Semakan awal mendapati ada unsur-unsur penipuan ‘ Love Scam’ yang digunakan oleh sindiket berkenaan di Facebook, Tinder, Instagram, dan WhatsApp," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Allaudeen berkata, mangsa yang terpedaya diarahkan untuk membuat pindahan wang ke akaun bank dalam dan luar negara.

"Sindiket penipuan itu menyasarkan mangsa dari Malaysia, Singapura dan China," katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah merampas 24 unit telefon bimbit, tujuh set komputer riba, satu naskhah skrip perbualan yang digunakan untuk memperdaya mangsa, 35 kad sim dan beberapa dokumen yang berkaitan dalam serbuan itu.

"Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Allaudeen berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika menggunakan laman sosial.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat bayaran ke akaun yang tidak dikenali.

"Sebarang aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!