'Wujudkan zon kewangan khas di semua koridor ekonomi wilayah'
Ketika membuat cadangan itu, Senator Dr A Lingeshwaran berkata, zon koridor tersebut adalah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Pembangunan Dalam Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), katanya, kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan bagi meningkatkan potensi ekonomi wilayah.
"Sebanyak dua strategi telah digariskan di bawah fokus ini iaitu mempergiatkan pembangunan wilayah di kawasan pertemuan yang berpotensi dan memartabatkan kerjasama agensi persekutuan dan negeri bagi untuk menarik pelaburan di kawasan tersebut.
"Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa zon kewangan khas akan diwujudkan di Iskandar Malaysia (Johor) bagi menarik pelabur asing dan pekerja berkemahiran untuk menetap di Malaysia,” katanya pada sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 di Dewan Negara, pada Rabu.
Dr Lingeshwaran berkata, inisiatif itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan selain mampu memperkukuh pembangunan sosioekonomi di wilayah berkenaan.
Beliau menyatakan sokongan itu susulan cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada 13 September lepas bagi mewujudkan zon kewangan khas di Pulau Pinang.
"Ini kerana Pulau Pinang mempunyai asas industri pembuatan yang matang dan merupakan antara penyumbang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar. Keutamaan itu juga harus diberi untuk zon khas kewangan seperti di Johor.
"(Langkah ini termasuk mengenakan) kadar cukai pendapatan khas sebanyak 15 peratus untuk pekerja berpengetahuan dan visa masuk pelbagai. Sudah tentu kita dapat menarik lebih banyak bakat dari luar ke Malaysia serta mengurangkan penghijrahan pekerja mahir kita,” katanya.
Beliau juga menyifatkan kadar cukai khas untuk badan korporat akan menarik lebih banyak pelaburan ke negara, sekali gus membantu dalam usaha mencapai beberapa strategi di bawah KSP RMK12 berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!