Loji TBB terbesar Malaysia di Bukit Tagar Enviro Park mula operasi
KUALA LUMPUR - Loji Tenaga Boleh Baharu (TBB) terbesar di Malaysia yang terletak di Bukit Tagar Enviro Park (BTEP), Hulu Selangor dengan kapasiti 12 Megawatt (MW) telah mula beroperasi.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Rabu berkata, langkah itu selaras dengan polisi kerajaan menerusi kementerian itu untuk membangunkan sekurang-kurangnya satu fasiliti pengurusan sisa pepejal berkonsepkan sisa kepada tenaga (WtE) di setiap negeri di Malaysia.
Loji WtE adalah antara kaedah merawat sisa pepejal dan pada masa sama menjana TBB.
Menurut kenyataan itu, BTEP yang mula beroperasi pada April 2005 adalah tanah milik kerajaan berkeluasan 283 hektar untuk tujuan pembinaan tapak pelupusan, manakala 404.7 hektar tanah lagi sebagai zon penampan yang mengelilingi tapak ini.
Di tapak pelupusan ini, BTEP berupaya menukarkan gas metana daripada sisa pepejal kepada TBB dengan kira-kira 339 juta kilowatt-jam (kWj) tenaga elektrik disalurkan ke grid nasional, katanya.
Sementara itu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata, BTEP adalah loji TBB daripada gas tapak pelupusan yang terbesar di Malaysia.
"Penghasilan tenaga ini dapat mengurangkan 2.7 juta tan karbon di bawah skim Mekanisme Pembangunan Bersih, bersamaan 43.6 juta anak pokok yang ditanam dalam masa 10 tahun, pengurangan penggunaan 296 juta liter petrol dan pengurangan 570,000 kereta yang dipandu dalam tempoh setahun,” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke BTEP, seterusnya merasmikan loji TBB berkenaan.
Ia adalah inisiatif KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd untuk memastikan kelestarian sistem pengurusan sisa pepejal negara yang lebih mampan.
Beliau berkata inisiatif tersebut adalah selaras dengan sasaran negara untuk mencapai TBB sebanyak 40 peratus menjelang 2035, dengan sektor sisa pepejal adalah antara penyumbang kepada pencapaian itu menerusi teknologi WtE. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!