Peruntukan pembangkang: Kerajaan tak letak tempoh masa kemuka permohonan

Fadillah
Fadillah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak meletakkan sebarang tempoh masa kepada ahli Parlimen pembangkang untuk mengemukakan permohonan bagi peruntukan di kawasan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam jawapan ringkas kepada Sinar Harian turut mengesahkan, setakat ini tiada sebarang permohonan peruntukan dibuat kepada kerajaan.

"Waalaikummussalam, tiada," katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan meletakkan tempoh masa kepada pembangkang untuk mengemukakan permohonan serta adakah sudah wujud perbincangan mengenainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa mengingatkan ahli Parlimen pembangkang supaya tidak angkuh dan sombong untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Malah Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, pembangkang perlu berunding dengan kerajaan seperti yang dilakukan ketika pemerintahan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya mahukan dana seperti yang dibangkitkan.

Beliau menjelaskan, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya telah ditugaskan untuk berunding dengan wakil pembangkang berhubung isu pengagihan peruntukan

Selain itu tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik untuk mengadakan rundingan mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima ahli Parlimen pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Tiga wakil itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Sebelum ini, kerajaan menegaskan ia secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada pembangkang namun hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!