Status OKU bukan penghalang ternak ikan laga
KLUANG – Status orang kurang upaya (OKU) ternyata bukan penghalang untuk seorang lelaki meneruskan hobinya menternak ikan laga seterusnya menjadikan ia sebagai sumber rezeki.
Mohd Faizal Khamis, 36, diserang sakit saraf sewaktu umurnya 11 tahun sehingga tidak boleh bergerak.
“OKU pun kena ada visi dan misi.
“Tak boleh nak duduk saja, mesti kena buat sesuatu untuk masa depan. Mohd Faizal berkata, dia mula mengumpul ikan perhiasan itu sejak enam tahun lalu. “Pada awalnya, saya kumpul ikan laga ini sekadar hobi sahaja.
“Tapi disebabkan permintaan terhadap ikan hiasan ini sentiasa ada, saya jadikan ia sebagai sumber pendapatan," katanya.
Menurutnya, jika dahulu kebanyakannya melihat ikan laga sebagai ikan parit sahaja.
“Tapi sekarang keadaan sudah berubah apabila ikan ini mempunyai nilai komersial tersendiri kepada individu yang memeliharanya,” katanya.
Dia ditemui semasa Program Charity Bazaar yang mendapat kerjasama di antara pengurusan pasar raya Kluang Mall dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kluang Mall, di sini, semalam.
Dia berkata, dia ada membeli baka ikan itu daripada Thailand.
“Saya beli untuk dijadikan induk. Alhamdulillah, saya berjaya menternak dan membiak lebih 2,000 ekor ikan laga di rumah keluarga saya.
“Semua urusan berkaitan ikan laga termasuk membiak, menternak dan menjual saya lakukan sendiri walaupun berkerusi roda,” katanya.
Katanya, ikan laga liar juga mempunyai bentuk fizikal kurang menarik jika dibandingkan dengan yang diternak secara komersial seperti jenis Crown Tail, Dumbo, Halfmoon Single Tail, Halfmoon Double Tail, Plakat dan Bertta Giant (BG).
Katanya, dia yang turut memasarkan ikan laganya secara atas talian juga turut terlibat aktif di dalam pertandingan ikan laga di negara ini selain pernah mendapat johan di dalam pertandingan Johor International Betta pada tahun 2016.
Sementara itu, Kluang Mall di dalam satu kenyataannya berkata, program Charity Bazaar itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya sempena kedatangan bulan Ramadan ini.
“Sepanjang tiga hari ini, kami berikan peluang kepada enam klien JKM terpilih di daerah ini yang mengusahakan pelbagai produk perniagaan untuk menjual produk mereka di dalam pasar raya ini secara percuma.
“Ini bertujuan bagi memberi peluang, pendedahan dan juga sokongan kepada perniagaan yang diusahakan mereka di bawah program 2 Years Exit Programme (2YEP) dan selain ikan hiasan, produk lain ialah makanan, pakaian, lukisan, inai dan hiasan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!