Polis kesan lelaki bantu siasatan kes halang tugas penjawat awam
KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas di Danau Saujana, Setapak, di sini pada 12 September lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian pada 11.16 malam itu, anggota dari Balai Polis Setapak ternampak sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota polis membuat pemeriksaan ke atas kereta tersebut, tiba-tiba kenderaan itu telah mengundur serta melanggar sebuah kereta lain dan pintu kereta polis peronda, sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ashari berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Kita sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Hizami Ahmad, 25, yang dipercayai boleh membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung individu berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 /03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!