'Satu keluarga beli sampai enam kampit beras' - Jalaluddin
SEREMBAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan diminta menambah baik program jualan beras putih tempatan yang dilaksanakan susulan rungutan masyarakat yang diterima di sesetengah tempat.
Exco Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia termasuklah menghadkan pembelian setiap individu.
"Kalau ikut keperluan atau pembelian biasa, bekalan dan langkah intervensi yang kita lakukan dapat menampung serta mengisi sedikit sebanyak kekurangan beras putih tempatan yang kita ada.
"Cumanya saya minta masyarakat jangan buat pembelian panik. Tadi saya dapat maklumat ada satu keluarga beli sampai enam kampit 10 kilogram beras dan ini tidak adil kepada keluarga lain," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas kekecohan yang berlaku ketika program berkenaan di Kuala Pilah pada Rabu.
Malah video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan orang ramai hampa dan tidak berpuas hati selepas beras tempatan yang dijual oleh FAMA itu habis.
Jalaluddin yang juga Exco Kanan berkata, kejadian berkenaan berlaku kemungkinan disebabkan pegawai FAMA terlepas pandang untuk menghadkan pembelian setiap pembeli.
Tambahnya, perkara sama turut berlaku di Jelebu dan ia berbeza di Seremban yang mana setiap individu hanya dibenarkan membeli satu kampit saja.
"Hari ini hari pertama dan kaedah penjualan itu mungkin agak terlepas pandang sehingga ada keluarga membeli lebih daripada jumlah keperluan sewajarnya. Saya sudah ingatkan FAMA supaya lebih spesifik serta praktikal dalam menjual bekalan beras dalam program ini," katanya.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, Negeri Sembilan telah menerima 20 metrik tan beras putih tempatan bagi pelaksanaan intervensi pengedaran beras putih tempatan kali pertama pada Rabu.
“Saya sudah nyatakan bekalan pada hari ini tentunya tidak mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat secara sepenuhnya dan bekalan ini akan ditambah dari semasa ke semasa.
"Mengikut statistik, Negeri Sembilan memerlukan kira-kira 50 metrik tan beras seminggu untuk keperluan masyarakat di negeri ini,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!